TEKNIK 3V

Teknik 3V merujuk kepada 3 langkah melatih pelajar untuk menguasai pengucapan awam secara impromptu dengan menggunakan bahan visual . Dengan kata lain 3V ialah 3 langkah menggunakan bahan visual. Bahan visual boleh dalam bentuk gambar pegun mahupun dalam bentuk video pendek.

Banyak kajian pendidikan telah dijalankan dan menunjukkan bahawa bahan visual boleh membantu meningkat proses pembelajaran secara berkesan.

“Penggunaan visual adalah merupakan salah satu strategi yang amat berkesan bagi membantu dan meningkatkan proses pembelajaran. Cara ini adalah dijalankan dengan berpandukan pelbagai jenis bahan-bahan visual yang bergerak ataupun tidak bergerak.” (Ahmad Nazir Muhammad Ali, 2006, Penyelidikan tentang pembelajaran visual dalam mempertingkatkan pemahaman murid.)


Dalam memastikan Teknik 3V ini mencapai kesan positif yang optima, pemilihan bahan visual tersebut disediakan mengikut aras kognitif Taksonomi Bloom. Dalam teknik ini kami bermula dengan aras aplikasi hinggalah sintesis (evaluating)




Disamping itu 3V juga menggabungkan aktiviti Pembelajaran Abad ke-21 dalam 3 langkah tersebut iaitu Peta minda i-think dan Chunking.


TIGA LANGKAH DALAM TEKNIK 3V

Langkah Pertama (1)

Aras Taksonomi Bloom : Aplikasi
Aktiviti : Penceritaan berdasarkan pengetahuan sedia ada
Contoh bahan visual : Gambar keluarga saya / Gambar cita-cita saya / Gambar diri saya

Pelajar akan diberikan bahan visual dalam bentuk gambar yang berkait dengan diri dan pengalaman atau pengetahuan sedia ada pelajar. Kebiasaanya pelajar berupaya untuk membicarakan perkara-perkara yang lalu, isu-isu semasa, harapan atau ramalan untuk masa hadapan. Isi ucapan kebanyakkannya berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran sedia ada pelajar.

Pelajar akan bercerita di depan kelas atau pensyarah (bergantung kepada tahap keyakinan diri pelajar tersebut) berdasarkan gambar tersebut secara bebas tanpa persediaan lengkap. 




Langkah Kedua (2)

Aras Taksonomi Bloom : Analisis
Aktiviti : Penceritaan berdasarkan peta minda pelajar
Elemen tambahan: Penggabungjalinan aktiviti pembelajaran Abad ke-21 iaitu Peta minda i-think
Contoh bahan visual : Gambar Pokok Kelapa / Gambar tempat pelancongan/ Gambar peristiwa

Pelajar akan diberi bahan visual dalam bentuk gambar yang berkait dengan pengetahuan sedia ada pelajar. Pelajar akan diminta untuk merangka isi penceritaan dalam bentuk peta minda. Pelajar diberi masa untuk menulis isi tersebut menggunakan salah satu bentuk peta minda yang terdapat dalam aktiviti Peta i-think. Kami memilih menggunakan Peta buih (bubble map) kerana peta ini digunakan bagi tujuan untuk menerangkan.



Selepas itu pelajar akan bercerita mengikut isi-isi yang telah dirangka pada peta buih tersebut.



Langkah Ketiga (3)

Aras Taksonomi Bloom : Sintesis
Aktiviti : Penceritaan berdasarkan peta minda pelajar
Elemen tambahan: Penggabungjalinan aktiviti pembelajaran Abad ke-21 iaitu chunking (gabungan)
Contoh bahan visual : Gambar situasi / Gambar peristiwa

Pelajar akan diberi bahan visual dalam bentuk gambar yang berkaitan dengan situasi atau peristiwa. Pelajar diminta bercerita tentang apakah tindakan yang akan mereka lakukan sekiranya mereka berada dalam situasi tersebut.




Diharapkan pelajar boleh menggubangkan kemahiran berucap secara impromptu melalui kemahiran yang dipraktikkan dalam langkah pertama (1) dan kemahiran merangka isi yang dalam pemikiran mereka melalui kemahiran yang dipraktikkan dalam langkah kedua (2).

Pada langkah yang terakhir ini, disasarkan pelajar telah boleh bercakap secara impromptu dengan baik, yakin dan tersusun.

No comments:

Post a Comment